Tuesday, March 3, 2009

Kenali dia menerusi tanda tangan

Salam.. Entry ni panjang sket. Just baca yang aku highlite je.. Yang len2 tu tak penting sangat.. Tak masuk exam pun.. Betul or tak tu tak tau la tapi kalau tengok pada sign aku sndiri macam betul kot huhu..



BANYAK cara sebenarnya untuk `membaca’ seseorang. Baikkah dia, jujurkah dia atau sebenarnya dia seorang yang tidak boleh dipercayai, tidak jujur, tidak ikhlas juga penipu.

Tetapi benarkah tulisan dan tanda tangan mampu merungkai rahsia? Benarkah tulisan dan tanda tangan boleh menceritakan sifat sebenar tuan punya badan?

Menurut pakar psikologi dan grafologi (pakar anilisis tulisan), tanda tangan mempunyai pelbagai makna. Ia melambangkan identiti dan membawa nilai tertentu. Tanda tangan mampu menampakkan maksud ego dan perjalanan hidup seseorang.

Tanda tangan yang terputus-putus membawa erti perjalanan hidup pemiliknya tidak lancar kerana tidak mempunyai perancangan awal yang matang. Jika tanda tangan melingkar bermakna pemiliknya suka mengeluh dan sering memikirkan kesusahan berbanding kesenangan.

Tanda tangan yang kecil pula menunjukkan orang itu banyak berahsia. Urusan dengan orang sebegini sentiasa sukar diselesaikan. Selok-belok pada tanda tangan menunjukkan hidup si empunya diri menjadi perhatian orang atau boleh juga diibaratkan sebagai gangguan luar. Boleh jadi juga orang ini suka memanipulasi diri, mengada-ngada atau suka berbohong.

Ramai juga yang melakar garisan di bawah tanda tangan. Garisan ini sebenarnya mempunyai erti. Kalau garis itu kena pada bawah tanda tangan, orangnya suka bergantung dengan orang lain. Coretan garis itu juga sepatutnya lurus. Jika hujungnya ke bawah, ketika tua nanti hidupnya susah. Lebih teruk lagi jika hujungnya berkait, hidupnya di kelilingi hutang.

Merujuk pada buku tulisan pakar grafologi, Dr Margaret Gullan-Whur berjudul What Your Handwriting Reveals, beberapa aspek harus dilihat dalam menganalisis tanda tangan iaitu maksud tanda tangan, penempatan, ukuran, keseimbangan, pembetulan, kejelasan dan unsur tambahannya.

Jelas beliau dalam bukunya itu, umumnya tanda tangan direka oleh seseorang bagi menampilkan ciri keperibadiannya. Mereka yang memiliki dua bentuk tanda tangan yang hampir serupa pula berkemungkinan memiliki dua identiti.

Jika tanda tangan diletakkan tepat di atas garis yang disediakan, ia menggambarkan rasa hormat terhadap diri sendiri dan juga pihak berkuasa. Jika ia agak di atas sedikit daripada garisan, ia menandakan kegembiraan berkaitan dengan dokumen yang ditandatangani itu dan jika di bawah garisan pula ia menunjukkan kemurungan.


Tanda tangan yang menaik menampilkan rasa percaya diri yang tinggi dan sebaliknya jika ia menurun.

Tanda tangan yang cenderung ke kiri dari tempat tersedia menunjukkan rasa takut (pada orang lain atau kegagalan) manakala ke kanan pula bermaksud kurang perhatian.

Tanda tangan lebih kecil daripada teks tulisan mengungkapkan keinginan untuk menyendiri sebaliknya tanda tangan besar memberi maksud ingin menonjolkan diri. Bila hurufnya besar dan rapat, ia melambangkan kesombongan manakala pendapat lain menyebutkan tanda tangan kecil, mampat dan pendek menunjukkan rasa rendah diri.

Ada juga yang bukan sekadar meletakkan nama sendiri pada tanda tangan. Nama keluarga juga dilakar bersama. Jika nama keluarga lebih rendah daripada nama depan ia menunjukkan sifat murung pada pemiliknya.

Bagaimana tanda tangan anda sekarang? Dengan segala penjelasan di atas mungkin ada yang sudah mula mencongak untuk mengubah tanda tangan. Kalau dulu tanda tangan menurun, mungkin sudah ada yang cuba-cuba mencipta tanda tangan baru yang menaik.

Apapun, tiada siapa mengajar kita merancang atau memilih tanda tangan. Kanak-kanak yang sudah mengenali huruf, sudah pandai membaca juga pandai mencipta tanda tangan mengikut kreativiti mereka.

Tanda tangan ketika kecil tidak akan kekal biasanya. Keraguan mencipta tanda tangan akan berlaku ketika remaja dan seterusnya apabila meningkat dewasa. Biasanya, tanda tangan yang tercipta kala dewasa ini akan kekal, apatah lagi jika tanda tangan ini sudah digunakan untuk pelbagai urusan seperti perbankan.

Mungkin ini juga petanda kita sudah mencapai tahap kematangan. Tahu apa yang nampak menarik mungkin juga unik sesuai dengan usia dan kehidupan.

Bagaimanapun, Prof Dr John Nimpoeno, pakar psikologi dan grafologi dari Kampus Pasca Sarjana Universitas Parahyangan, Bandung, Indonesia berpendapat sebaliknya.

"Memang dalam tanda tangan ada unsur yang menunjuk sifat atau karakter seseorang, tapi tidak selengkap grafologi (tulisan tangan). Tulisan tangan mampu menunjukkan keadaan yang berlaku pada pemiliknya tetapi tidak tanda tangan kerana unsurnya tidak lengkap.

“Ada berpuluh indikator pada grafologi sedangkan tanda tangan hanya sebahagian daripadanya,” katanya.

Berdasarkan grafologi, gerakan menulis jelas ada hubungannya dengan keadaan psikologi seseorang. Pemikiran dan emosi walau sesaat sekalipun mampu dibaca pada tulisan tangan dan kerana itu, tulisan tangan mampu mencerminkan keperibadian seseorang.

Kata Dr John Nimpoeno lagi, tanda tangan muncul hasil daripada gerakan automatik dan kerana itu ia tidak dapat menceritakan sepenuhnya keperibadian seseorang. Tanda tangan diramal? Itu cuma cerita rakyat, katanya.

Anda bagaimana? Apa pandangan anda? Mampukah tanda tangan membantu anda mengenali keperibadian seseorang? Bak kata Pakar Grafologi dari Pusat Grafologi Anna Koren, Anna Koren, sekalipun tanda tangan boleh dianalisis, penilaiannya lebih mengikut gerak hati.

Oleh itu, bila mengenali seseorang, dengarlah kata hati anda...


Makna tersirat di sebalik tanda tangan:

1. Satu garisan di bawah tanda tangan
Seorang yang sangat yakin

Ada personaliti yang hebat
Agak mementingkan diri sendiri

Percaya bahawa kebahagiaan dalam hidup sangat perlu



2. Dua titik di bawah tanda tangan
Anda romantik

Mudah bertukar pasangan macam tukar baju
Memilih kecantikan (bagi lelaki)

Sentiasa berusaha untuk kelihatan cantik (bagi wanita)

Mudah menarik perhatian orang untuk berdamping


3. Satu titik di bawah tanda tangan
Anda kelihatan mudah dan tenang

Cepat hilang kepercayaan pada orang anda percayai apabila dikhianati


4. Tiada garisan/titik di bawah tanda tangan

Seronok dengan kehidupan
Ikut gaya dan cara sendiri

Kurang memberikan perhatian pada pandangan orang lain



5. Tanda tangan yang tiada kaitan dengan nama

Anda sentiasa berusaha supaya smart
Suka berselindung
Jarang mengambil pandangan orang lain sebagai panduan hidup
Yakin dengan kebolehan diri sendiri


6. Tanda tangan berasaskan ejaan nama tapi sukar nampak
Anda cerdik tapi kurang hendak berfikir

Anda cepat menukar pandangan dan idea



7. Tanda tangan huruf satu-satu, tidak bersambung
Seorang yang sangat prihatin

Tidak pentingkan diri sendiri

Sanggup berkorban apa saja untuk orang lain
Seorang pemikir
Seorang yang mudah serik



8. Tanda tangan ikut ejaan nama dengan huruf yang jelas
Seorang yang sangat baik
Boleh menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan atau dengan siapa saja anda berurusan
Tegas dengan pendapat sendiri
Ada semangat yang tinggi



sumber : berita harian ( ikon) bpe hb tah..

p/s : hanya jauhari mengenal manikam.. cheewaahhh hahaha..

No comments: